Saturday, March 24, 2007

"Saya akan terus hidup"

"Saya akan terus hidup" - Awang Sigar

“Saya akan terus hidup”: Awang Sigar cerita detik-detik cemas nahas Garuda di Yogyakarta CUACA yang baik mengiringi penerbangan Garuda 737-400 menuju Yogyakarta, sebuah bandaraya kebudayaan dan tarikan para pelancung, 440 km dari Jakarta. Awang Sigar Labau, 48 tahun, adalah diantara penumpang yang berada dalam pesawat itu. Beliau ditemani rakan sekerjanya, Ak Sharulazmi untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja mengenai Liberalisasi Kapital Akaun peringkat Asean. Bagaimanapun, hasrat beliau dan rakannya itu tidak kesampaian apabila pesawat yang membawa 140 penumpang dan anak kapal itu tergelincir dari landasan, lalu meletup dan terbakar ketika mendarat di Lapangan Terbang Adi Sucipto kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan pada 7 March lalu. “Kami berlepas dari hotel jam 4.30 pagi dan dijangka tiba di Yogyakarta dalam masa 45 minit. Saya tidak mengambil makanan dalam pesawat kerana masih terasa kenyang selepas sarapan di hotel. Saya bercadang untuk duduk dibarisan depan pesawat. Oleh kerana ruangan depan sudah penuh, saya melupakan hasrat itu. Sebaliknya saya duduk dibahagian belakang pesawat bersama Ak Sharul,” ujar Awang Sigar menceritakan detik-detik cemas yang berlaku beberapa saat sebelum pesawat menghentak landasan dengan kuat ketika membuat pendaratan mengakibatkannya tergelincir lalu terbakar dan tersadai di sawah padi selepas melanggar pagar ujung landasan. Kemalangan ngeri itu mengorbankan 21 penumpang. Awang Sigar mengalami kecederaan di bahu kanan serta sakit dan lebam dikawasan pinggang manakala Ak Sharulazmi tidak mengalami kecederaan.

“Dalam keadaan panik itu, saya menyedari kasut sebelah kaki kiri saya hilang mungkin terpijak dan tanggal ketika berebut-rebut. Saya menjumpainya dicelah-celah kaki penumpang. Ketika bergegas memasang kasut, saya cuba menyakinkan diri saya bahawa saya akan selamat. Perkataan “saya akan terus hidup,” berulang kali saya ucapkan,” jelas Awang Sigar disaat-saat getir sebelum beliau berjaya meloloskan diri dari kepulan asap dan api yang mula merebak di kabin pesawat.

Kami sungguh bernasib baik, pintu kecemasan hanya beberapa langkah dari tempat kami duduk. Mungkin penumpang yang duduk dibarisan tengah yang banyak terkorban atau melecur kerana tersepit ditempat duduk. Semasa berebut untuk keluar pesawat, laluan menuju ke pintu kecemasan menjadi sempit akibat rempuhan dari penumpang yang bersesak-sesak menuju pintu keluar. Kami tidak ada pilihan selain melompati kerusi bahagian belakang kami untuk sampai ke pintu kecemasan.

Dalam suasana kecoh, gerak saya terhenti. Seorang penumpang lelaki bangsa Indonesia memaut bahu saya meminta pertolongan agar membawanya keluar bersama. Melihat akan keadaannya yang sukar untuk berdiri dengan betul, saya lantas menarik dan membawanya terjun bersama.

Sepanjang ingatan saya, bahu kanan terhantuk kuat akibat terhumban kehadapan mujur tali pinggang keselamatan jadi penyelamat ketika kapal mendarat. Saya sempat melihat landasan dari cermin tempat duduk sebelum mendarat. Tiba-tiba lampu kabin tertutup dan Ak Sharul ternampak kepulan asap keluar dari sayap kiri pesawat. Dalam kegelapan dan asap mulai memasuki bahagian dalam kapal, saya mendengar pekikan kuat dari arah bertentangan, mungkin dari anak pesawat yang mengarahkan semua penumpang keluar serta merta. Ak Sharul bertindak cepat dan saya terus mengekorinya,” ujar Awang Sigar.

“Apa yang ada dalam fikiran masa itu hanyalah untuk menyelamatkan nyawa dan kami tidak menggunakan gelongsor keselamatan sebaliknya melompat terus ke daratan. Mungkin juga gelongsor itu rosak akibat rempuhan para penumpang. Setelah kaki menjejak bumi Yogyakarta, saya menyedari bahawa kami sudah selamat,” jelas Awang Sigar yang memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Institusi Kewangan, Kementerian Kewangan sejak Disember 2005 manakala Ak Sharulazmi adalah pegawai kewangan di bahagian yang sama.

Walaupun sudah boleh menarik nafas lega, Awang Sigar masih terpinga-pinga dan cuba untuk memahami apa sebenarnya yang telah terjadi. Beliau buntu mencari jawapannya. Ditengah kebingungan, antara sedar atau tidak, realiti atau khayalan, hakikatnya beliau terperangkap “di bumi tidak bertuan." Sukar untuk diungkap dan digambarkan perasaan beliau ketika itu. Hanya satu episod kemusnahan yang terpapar didepan mata tapi sukar untuk diterjemahkan. “Pemandangan seolah-olah seperti dalam medan peperangan,” tegas Awang Sigar. “Saya bersyukur kepada Tuhan, umur saya masih dipanjangkan,” tambah Awang Sigar yang terselamat dari serangan penyakit barah apabila dijangkiti penyakit maut itu pada tahun 2001.

“Saya sempat menghubungi saudara terdekat di Brunei selepas kejadian itu. Saya bimbang berita sedih ini akan mengejutkan isteri dan anak-anak jika dikhabarkan dengan nada yang tergesa-gesa. Setelah keadaan saya tenang, barulah saya menghubungi mereka,” jelas Awang Sigar yang berasal dari Kg.Parit, Daerah Temburong dan menetap di Kg.Kapuk, Jalan Muara. Beliau dikurniakan lima orang cahaya mata.

Kesemua penumpang dan anak buah yang terselamat dari malapetaka itu dipindahkan ke hospital tentera yang berdekatan. Hasil dari pemeriksaan x-ray, bahu kanan Awang Sigar didapati retak dan beliau percaya akibat dari hentakan kuat yang mengenai bahunya semasa pesawat mendarat. Dua orang pegawai dari Kedutaan Brunei di Jakarta bergegas ke Yogyakarta untuk mengetahui keadaan sebenar beliau dan Ak Sharul setelah mendapat maklum dari pihak-pihak yang berkenaan untuk mempercepatkan kepulangan mereka ke Brunei melalui Jakarta.

Setelah selesai menjalani pemeriksaan dan rawatan di hospital tentera berkenaan, Awang Sigar and Ak Sharul dipindahkan ke hospital antarabangsa yang dikendalikan oleh pihak swasta di Yogyakarta. Mereka berada di hospital itu selama dua malam dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Syarikat Penerbangan Garuda.

Walaupun mendapat layanan yang istemewa semasa berada di hospital, Keresahan dan ketakutan kembali menghantui fikiran Awang Sigar. Kepulangan mereka ke Jakarta akan dibuat sebaik-baik saja keluar dari hospital di Yogyakarta. Beliau diberitahu perjalanan balik boleh diuruskan samada melalui jalan darat atau udara. Jika menggunakan kenderaan darat, perjalanan memakan masa 7 hingga 8 jam untuk sampai di Jakarta.

“Saya jadi takut dan memori nahas tertayang di kotak fikiran saya. Kebimbangan mula menguasai diri saya kemungkinan mengalami “peristiwa serupa” jika menaiki kapalterbang. Kalau mengikut kehendak hati, mahu saja ikut jalan darat tetapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya menepis firasat liar itu dan mengambil keputusan naik pesawat,” kata Awang Sigar menimbas kembali keputusan yang terpaksa dibuatnya bersama rakan sekerjanya untuk kembali ke Jakarta menggunakan pesawat lain yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan yang sama.

Penerbangan menuju Jakarta berjalan dengan baik tidak seperti “petanda buruk” yang dirasakannya. Perasaan gementar hilang sekelip mata apabila pesawat selamat mendarat di Jakarta tanpa sebarang masalah. Awang Sigar and Ak Sharul menginap semalam di Jakarta sebelum diterbangkan balik ke Brunei pada petang 10 March melalui Penerbangan Diraja Brunei. Dari lapangan terbang, mereka terus dibawa ke Hospital RIPAS untuk pemeriksaan lanjut. Awang Sigar diberi cuti selama 5 minggu untuk membantu beliau sembuh sepenunhya dari kecederaan yang dialaminya dalam nahas pesawat itu.

“Tragedi ini akan menghantui saya selamanya. Namun, peristiwa pahit ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk menaiki pesawat lagi. Hanya masa menentukan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kedutaan Brunei di Jakarta, Garuda Airlines, RBA, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, kementerian-kementerian lain dan orang-orang persendirian kerana menghulurkan bantuan dan sokongan semasa saya dilanda kesusahan.”

1 comment:

Anonymous said...

I love your blog.. very nice colors & theme.
Did you create this website yourself or did you hire someone to
do it for you? Plz respond as I'm looking to create my own blog and would like to find out where u got this from. thanks

Have a look at my web-site Klean Slim - kleanslim.net