Saturday, June 30, 2007

Dua pakar universiti perguruan lawat Mahad Islam Brunei
TUTONG, Rabu - Dua panel pakar dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) telah mengadakan lawatan kerja ke Mahad Islam Brunei Tutong hari ini. Rombongan itu diketuai oleh Datuk Mohd Mokhtar Safie. Ikut sama dalam rombongan ialah Dr Ghazali Basri dan beberapa orang pegawai dari kolej universiti berkenaan. Tujuan lawatan adalah untuk mengetahui secara lebih dekat lagi akan struktur dan latabelakang pengurusan sekolah-sekolah Arab di negara ini.

Dr Ghazali (kanan) dalam sesi dialog
Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Pengetua, Ustazah Hjh Hamdiah Hj Awg Salleh dan pegawai-pegawai kanan maktab. Disusuli kemudian dengan penerangan ringkas disampaikan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Ustaz Hj Hamdan Omar mengenai peranan dan tugas maktab dalam membimbing dan membentuk golongan kanak-kanak dan remaja terutama sekali dalam penerapan nilai-nilai pendidikan agama yang kukuh dan pembelajaran bahasa Arab sedari awal lagi. Beliau juga menyentuh tentang pencapaian yang telah dikecapi oleh maktab sejak ditubuhkan 17 tahun yang lalu dalam taklimatnya.
Belia menambah bahawa ketika ini seramai 382 pelajar sedang menjalani pengajian mereka di maktab dan mereka ini dibahagikan kepada tujuh buah kelas dari darjah 1 hingga peringkat menengah 5 sementara 114 orang lagi menjadi tulang belakang kepada jentera pengurusan maktab yang mana terdiri daripada pegawai, tenaga pengajar, kakitangan dan guru-guru kontrak. Majlis itu diakhiri dengan sesi soal jawab dan rombongan kemudiannya beredar untuk melakukan lawatan ke salah sebuah sekolah Arab di ibu negara.
Mahad Islam Brunei ditubuhkan pada Julai 1990 dan adalah merupakan satu-satunya maktab atau sekolah yang mengajar bahasa Arab di Daerah Tutong manakala enam buah lagi terletak di daerah-daerah lain. Kolej perguruan pula telah dinaik taraf menjadi kolej universiti sejak Januari tahun ini dengan Titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam semasa sambutan Tahun Baru Hijrah 1428. Maktab berkenaan telah wujud sejak lebih 30 tahun yang lalu.

1 comment:

Anonymous said...

Cemana kau tau durang atu "pakar" ?