Saturday, June 30, 2007

Pengendali kantin hadiri ceramah kesihatan (mp-30/6/07)
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat – Bahagian Perkhidmatan Pemakanan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Koperasi BKSS telah secara proaktif menggiatkan satu projek bagi memberi pendidikan yang berterusan kepada pengendali makanan dan orang ramai tentang mustahaknya sentiasa menjaga kesihatan dengan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan yang boleh memudaratkan kepada kesihatan tubuh badan atau pengambilan minuman yang banyak mengandungi gula.
Mengikut perancangan asal, kantin yang dijalankan oleh Koperasi BKSS yang terletak di Hospital RIPAS telah dijadikan sebagai projek perintis bagi rancangan itu. Beberapa orang pegawai dari bahagian berkenaan telah melakukan lawatan dan mengambil contoh minuman bagi tujuan ujian makmal. Buat permulaan, bahagian ini mengkaji beberapa jenis minuman popular yang sering dipesan oleh pelanggan bagi mengenal pasti kandungan sebenar kalori dan gula. Melalui kajian itu, bahagian pemakanan dapat membuat kesimpulan yang kemudiannya akan dijadikan sebagai panduan berguna kepada pengendali kantin dan juga orang ramai.

Hjh Roseyati DP H Yakub
Untuk jangka panjang, skop projek ini akan dilaratkan kepada pengendalian makanan yang akan melibatkan penyertaan kantin-kantin di kementerian dan jabatan lain. Inisiatif yang sedang diungkayahkan oleh bahagian ini adalah diharap akan dapat mengurangkan pengingkatan kadar kegemukan dan penyakit-penyakit lain di kalangan penduduk di negara ini. Melalui kajian ini juga, orang ramai selaku pelanggan akan lebih menyedari akan pentingnya mengamalkan cara hidup sihat melalui pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang.
Ceramah itu telah diselenggarakan oleh dua orang pegawai dari bahagian berkenaan iaitu Hjh Roseyati DP Hj Yakub and Nur Asma Aini Hj Mat Yassin. Majlis dihadiri oleh ahli lembaga pengarah Koperasi BKSS, pengendali kantin dan orang ramai. Ia berlangsung pagi tadi di Hospital RIPAS (29/6/07).

No comments: