MP - 10/6/05
Ma’had Islam Brunei merupakan antara institusi pendidikan yang terbaik di negara ini. Kesedaran untuk mencapai tahap kecemerlangan akademik di kalangan para pelajar disamping dorongan yang kuat dari ibubapa dan penjaga serta rakan-rakan sebaya telah berjaya meningkatkan imej maktab tersebut sebanding dengan institusi-institusi pengajian yang lain. Maktab yang dikhususkan untuk pelajar lelaki ini terletak di daerah Tutong dan menempatkan blok pentadbiran serta dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan asas seperti asrama, bilik-bilik darjah, perpustakaan, surau, makmal sains, dewan serbaguna dan padang permainan. Keramaian penuntut ketika ini adalah 438 orang manakala tenaga pengajarnya pula seramai 93 orang di mana 46 peratus daripadanya adalah guru-guru perempuan. Dari jumlah tersebut, 76 orang adalah tenaga tempatan dan selebihnya guru-guru yang dilantik secara berkontrak sementara kakitangan maktab berjumlah 37 orang. Mengimbas sedikit sejarah maktab ini, pembinaannya bermula pada Oktober 1987 dan menerima kemasukan penuntut pertamanya pada Mei 1990. Pada 17hb Julai 1990 bersamaan 23 Zulhijjah 1410H, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan merasmikan pembukaan maktab berkenaan. Memandangkan kerja-kerja pembaikan terhadap bangunan maktab sedang dijalankan, para penuntut di pindahkan sementara ke Sekolah Persediaan Arab bagi menengah bawah dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah [SMALHB] bagi menengah atas pada 31hb Mac 2003. Ma’had Islam Brunei di gunakan semula pada 23 hb Mac 2005. Walau bagaimanapun bagi penuntut-penuntut yang tinggal di asrama, mereka ditempatkan sementara di asrama Sekolah Menengah Muda Hashim dan Flat Sungai Besar sehingga kerja-kerja pembaikan bangunan asrama selesai. Bagi mempastikan kejayaan sekolah dan penuntut yang berterusan, Ma’had Islam Brunei telah menyusun pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, sukan dan seumpamanya di sepanjang tahun. Ini termasuklah kelas-kelas bimbingan Al-Quran, ceramah, pertandingan, penyampaian sijil/hadiah penghargaan kecemerlangan tahunan pelajaran seperti skim skim galakan dan penilaian berterusan serta anugerah-anugerah penuntut-penuntut cemerlang dan mithali.
No comments:
Post a Comment