Wednesday, April 25, 2007

PERTIWI anjur pertandingan membaca al-Quran
SATU pertandingan membaca al-Quran anjuran Persatuan PERTIWI Daerah Tutong telah menarik penyertaan lapan orang peserta yang terbuka kepada ahli-ahli persatuan PERTIWI. Majlis itu bersempenakan sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati ulangtahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pertandingan yang julung-julung kali dianjurkan oleh persatuan itu dilangsungkan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong pada 20/4/07 yang baru lalu. Tiga kategori telah dipertandingkan iaitu peserta-peserta yang berumur diantara 18 hingga 35 tahun (kategori A), 36 hingga 55 tahun (Kategori B) dan 56 tahun ke atas (Kategori C). Setiap bahagian menampilkan tiga penyertaan kecuali kategori A dimana hanya dua peserta mengambil bahagian.

Salah seorang peserta dalam kategori A
Dayang Norhayati Abdullah berjaya menduduki di tempat pertama dalam kategori A manakala Jamaliah Haji Pudin menguasai kategori B dan Hajah Dayang binti Jais mengungguli tempat pertama dalam kategori C. Untuk menyerikan majlis, satu ceramah khas sempena Maulidur Rasul bertajuk “Memperkasa iltizam kehidupan beragama” telah disampaikan oleh pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Ustazah Hajah Rogayah Begawan Pehin Khatib Haji Abd Wahid.

Ustazah Hjh Rogayah menyampaikan ceramah khas
Dalam ceramahnya, Ustazah Hajah Rogayah menggariskan tiga elemen terpenting bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Pertama sekali dari aspek kepimpinan. Golongan suami sebagai peneraju rumahtangga memainkan peranan penting bagi memastikan kesepaduan dikalangan ahli-ahli keluarga supaya sentiasa kukuh dan terjamin. Katanya, aspek kedua ialah pengwujudan komunikasi yang berkesan seperti sentiasa menghulurkan salam dikalangan ahli-ahli keluarga bagi menjamin kesejahteraan berkeluarga. Aspek ketiga pula ialah penerapan sistem perhubungan yang berkesan seperti berbincang dengan semua ahli keluarga secara terbuka dan telus terutama sekali jika timbul persengketaan dan mencari penyelesaiannya secepat mungkin. Kira-kira 100 orang menghadiri majlis tersebut yang diakhiri dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang oleh Dr Hajah Jamilah Haji Mohd Yusof, isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong manakala Hajah Dayang Jais telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan pertandingan.

Hjh Dayang dinobatkan juara keseluruhan pertandingan

No comments: