Sunday, April 8, 2007

MP - 17/8/05

Ciri-ciri rumah kediaman di Brunei berkonsepkan “Islamic Housing”
BENGKEL Rekabentuk Islam untuk Industri telah di adakan di Pusat Persidangan Antarabangsa pada 2hb hingga 4hb Ogos 2005 yang lalu. Empat buah kertas kerja di bentangkan oleh pakar-pakar dari dalam dan luar negeri. Lebih 100 orang peserta terdiri dari arkitek, pereka bentuk, pentadbir, guru-guru, pihak swasta dan orang perseorangan ikut serta menjayakan salah satu acara “Majlisilmu” itu.
Bengkel yang diselajurkan dengan simposium itu berkisar tentang seni rekabentuk Islam yang memang diketahui telah berkembang sejajar dengan perkembangan Islam itu sendiri. Melihat kepada sejarah Islam, Kubah al-Sakhrah di Jerusalem yang di bina pada abad pertama hijrah, elemen seni Islam sudah dapat disaksikan seperti keindahan hiasan, gaya susunan, kehalusan seni khat, struktur dan mutu pembinaan, aplikasi bahan dan sebagainya.

Prof Madya Dr Asiah melakar apa yang dimaksudkan konsep 'Islamic Housing'
Di simposium itu, kertas kerja yang bertajuk “Universal Design and Inclusive Design” dibentangkan oleh Prof Madya Dr. Asiah Binti Abd Rahim [Universiti Islam Antarabangsa Malaysia]. Di ikuti pula dengan kertas kerja oleh Pg Adnan Pg Badarudin [Jabatan Kerja Raya] dengan kertas kerjanya “The Built-Environment and Islamic Architecture: Buildings of Islamic Values in Brunei Darussalam.”

Prof Madya Dr.Shafic Omar ketika menyampaikan kertas kerjanya
Pembentang-pembentang kertas kerja lain terdiri dari Pg Haji Ismail Pg Haji Mahmud [Perunding AlamReka Sdn Bhd] dengan kertas kerja bertajuk “Rediscovering Islamic Architecture in Brunei Darussalam” dan Dato’ Abdul Latif Mirasa [Yayasan Restu, Malaysia] dengan tajuk kertas kerja “Islamic Design dan Industry: Malaysia Experience”. Di samping itu dua kertas kerja telah dibincangkan di dalam bengkel iaitu kertas kerja bertajuk “Housing From Islamic Perspectives-Brunei As A Case Study” [penyelidikan di buat oleh Prof Madya Dr.Asiah Abd Rahim] dan “The Prophet Muhammad and Urbanization of Medina: Lesson For Today and Future” oleh Prof Madya Dr.Spahic Omer. Prof. Madya. Dr. Asiah Abd Rahim membentangkan kertas kerja yang menarik tentang kajian rumah-rumah di negara ini dalam perspektif Islam. Metodologi kajian berasaskan temu bual, pembahagian kertas soalan, pemerhatian, penganalisan dan pengambilan gambar. Projek yang mengambil masa kurang lebih sebulan tersebut berjaya dilaksanakan dengan sokongan dari agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri, PUJA [Petubuhan Jurutera dan Arkitek], Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan kerja Raya, Jabatan Perumahan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan agensi-agensi lain.

Peserta bengkel
Dalam kajian itu , 6 buah kampong telah terpilih dan 400 kertas soalan telah dibahagikan kepada responden [peserta]. 59% jawapan daripada kertas-kertas soalan itu berjaya dikumpul. Kertas soalan pertama adalah berbentuk butiran peribadi para responden seperti umur, taraf kelamin, pekerjaan, bangsa, keramaian yang mendiami rumah dan keramaian anak-anak. Kertas soalan kedua pula untuk mengetahui kefahaman secara umum apa yang dimaksudkan dengan tempat kediaman yang berkonsepkan Islam seperti aspek-aspek persendirian [privacy], interaksi dan integrasi sosial di kalangan penduduk, penyediaan kemudahan-kemudahan dan persekitaraan. Di samping itu pandangan dari golongan profesional dan beberapa pihak tertentu yang terlibat dalam industri pembinaan berkonsepkan Islam juga diambil kira bagi mendapatkan maklumat lanjut bagi menjayakan kajian berkenaan. Tempat-tempat yang terpilih terdiri dari Kg Ayer, Kg Sungai Bunga, Perumahan Lambak Kanan, Rancangan Perumahan Negara Kg Rimba, Kg Serasa dan Kg Mentiri. Antara tujuan penyelidikan adalah untuk mengenal pasti prinsip-prinsip yang dipraktikkan oleh penduduk di negara ini yang bersangkut paut dengan cara hidup, masyarakat dan persekitaran. Kajian juga dibuat untuk menentukan samada golongan profesional dan perekabentuk industri binaan di negara ini mengikut prinsip rekabentuk yang digariskan dalam Islam. Tujuan lain bagi mengenal pasti persepsi pengguna dan kefahaman secara umum tentang kriteria-kriteria rumah yang berkonsepkan Islam seperti penempatan bilik air yang tidak boleh menghadap kiblat, keselesaan dan kebersihan, pengasingan ruang sembahyang untuk lelaki dan perempuan, seni Islam sebagai elemen hiasan ruang utama rumah dan sebagainya. Hasil dari kajian itu, 84% daripada responden mengetahui dan faham akan konsep orientasi [susunan] rumah yang merupakan salah satu kriteria atau elemen penting dalam “Islamic Housing”. 61% responden menganggap orientasi bilik air [tidak menghadap kiblat] adalah penting manakala hanya 10% tidak penting. Dari aspek keselesaan dan kebersihan rumah kediaman, 89% responden bersetuju ianya mustahak dan selebihnya[11%] tidak penting.

Peserta bengkel
Bagi kriteria pengasingan ruang sembahyang untuk lelaki dan perempuan pula, 86% bersetuju ianya perlu dan 14% beranggapan isu tersebut kurang penting. Satu lagi kriteria yang di buat kajian ialah elemen seni Islam dalam hiasan ruang utama rumah. 2/3 atau [65%] responden bersetuju ianya penting manakala selebihnya beranggapan kurang mustahak [35%]. Akses kemudahan pula, menurut kajian itu, masjid adalah tempat yang paling mudah dan senang dikunjungi [97%]. Di ikuti dengan sekolah [91%]. Pusat komersial 82% dan kemudahan sukan dan rekreasi 61%. Mengikut pengamatan beliau, kebanyakan penduduk di negara ini ingin memiliki rumah yang besar dengan mempunyai di antara 4 hingga 6 bilik dan bilik tamu yang besar. Aspek keselamatan juga di ambil perhatian pemilik rumah terutama pemasangan pagar di kawasan perumahan yang mana hendaklah mengikut spekifikasi yang dibenarkan sahaja. Dalam pada itu, penyelidik terlibat terpegun dengan keunikan rumah-rumah di bina begitu indah dan kedudukannya yang di bina di merata tempat dengan penerapan nilai-nilai keislaman dalam rekabentuknya. Bagi mereka yang kurang upaya, beliau merumuskan bahawa kemudahan perlu disediakan di setiap rumah dan bangunan awam. Orang tua, kanak-kanak dan ibu-ibu yang mengandung perlu juga diambil perhatian yang wajar dengan penyediaan kemudahan yang selayaknya. Di sini para arkitek, jurutera, pentadbir dan perancang perlu memainkan peranan yang bersepadu kearah penyediaan tempat kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan. Berkaitan dengan kertas kerja yang telah di buat, fasilitator bengkel, Prof Madya Dr. Asiah Abd Rahim membahagikan para peserta kepada beberapa buah kumpulan dan setiap kumpulan di kehendaki melakar satu perkampungan atau kawasan perumahan akan datang dengan memberi penekenan kepada “rumah idamanku, masyarakat dan persekitaran.” Kesimpulannya, para peserta sependapat bahawa suasana perkampungan atau perumahan itu mesti mempunyai kemudahan yang serba lengkap di kelilingi dengan kemudahan-kemudahan yang terkini, bercirikan keislaman dan konsep “all in one place.” Dalam konteks kejiranan pula, urbanisasi Islam bukan sahaja berkaitan dengan aspek fizikal malahan juga meliputi ciri-ciri lain seperti keagamaan dan kemasyarakatan. Penyelidikan lanjut akan di buat di masa akan datang tentang bangunan lama, implikasi sosial, kemudahan perumahan untuk pesara dan orang tua, golongan berpendapatan tinggi dan rendah, masjid sebagai pusat kemasyarakatan, lanskap dan tempat rekreasi serta fasiliti masyarakat di kawasan perumahan. Simposium dan bengkel yang berjalan selama tiga hari itu telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memberi sumbangan dalam mencetuskan satu gelombang baru dalam memberi makna terhadap industri seni Islam di rantau in melalui resolusi yang di buat di akhir bengkel. Dalam konteks industri seni Islam, jika di usahakan secara bersungguh-sungguh, bersistematik dan besar-besaran dengan pengumpulan semua disiplin ilmu dan kemahiran seni Islam, industri rekabentuk Islam akan berkembang dengan lebih pesat lagi sekaligus rantau ini dihormati di persada dunia.

No comments: