Sunday, April 8, 2007

MP - 7/9/05

“Pesta kikik” gamatkan suasana kampong
PERMAINAN kikik atau layang-layang memang digemari oleh penduduk-penduduk di negara ini khususnya penduduk kampong. Permainan yang sudah menjangkau usia 500 tahun itu biasanya dimainkan di sebelah petang pada hujung minggu, hari kelepasan awam dan juga hari-hari biasa. Disamping mengisi masa lapang dan sebagai satu aktiviti riadah, pertandingan kikik juga sering dianjurkan sempena sambutan perayaan dan kawasan yang kerap dikunjungi penggemar ialah Perpindahan Tungku-Katok, Kg Lambak dan Pantai Tungku.
Penggemar kikik yang berkunjung ke kawasan Perpindahan Tungku-Katok bukan saja terdiri dari penduduk setempat bahkan ada yang datang dari daerah Tutong dan kampong-kampong lain semata-mata untuk mencari keseronokan bermain kikik. Kawasan tersebut boleh dianggap begitu sesuai untuk menerbangkan kikik memandangkan kawasan perkampongan yang masih baru dan luas. Penduduk kampong yang tidak bermain kikik, kelihatan seperti “terpaku” di pantaran dan halaman rumah turut sama berkongsi keriangan seakan-akan ada pesta sedang berlangsung.

"Ayam gergasi" jadi tarikan dikawasan permainan

Pada kebiasaannya kikik akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang kikik dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Boleh juga dinaikkan berseorangan bergantung kepada kemahiran individu. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah kikik tersebut tinggi di udara. Ada beberapa rahsia bagi mengawal kikik di udara. Rahsia-rahsia itu akan difahami hanya apabila kita sendiri berdepan dengan masalah dalam menaikkan kikik.Seseorang pemain yang berpengalaman akan cepat bertindak apabila kikiknya membuat ragam di udara. Kebolehan dan kecekapan bertindak dengan cara-cara yang tersendiri membuktikan keupayaan seseorang pemain kikik itu menghadapi cabaran dan mengatasi dengan keadaan tenang.

Pelbagai jenis kikik boleh dibeli di tepi jalan kawasan permainan kikik
Walaupun permainan kikik hanya dapat disaksikan pada sesuatu musim atau perayaan namun keseronokannya bukan saja dapat dirasakan oleh pemainnya malahan jua kepada penonton terutama sekali apabila menyaksikan pertandingan “berpulut”. Dalam permainan ini, matlamatnya satu saja iaitu setiap pemain berusaha untuk menjatuhkan kikik “musuh”. Apa yang paling menarik dalam acara ini ialah apabila kikik-kikik yang “kalah” terapung-apung diruang udara tanpa haluan. Apabila saja kikik-kikik malang itu hendak membuat “pendaratan”, maka puluhan kanak-kanak sudah bersedia dan ada dikalangan mereka membawa “penjolok” kayu atau pvc berlari ke arah haluan kikik yang hampir jatuh itu bagi merebut rezeki yang datang melayang dari”langit”. Dahulunya, benang dijadikan sebagai tali kikik dan kadangkala kaca yang telah ditumbukhancur dan dicampurkan dengan gam kanji. Kemudian ramuan itu disapu kepada benang kikik untuk menjadikannya ‘ampuh”. kini benang telah diganti dengan “tangsi” yang boleh diperolehi di kedai-kedai runcit di merata tempat dengan harga sekitar 3 ringgit segolong. Bermacam-macam jenis kikik juga boleh dibeli di tempat permainan kikik dengan harga serendah 50 sen hingga 2 ringgit bergantung kepada saiz kikik.

Kikik melayang-layang diudara
Di sebalik keseronokkan bermain dan menjadi penonton, aspek-aspek keselamatan juga perlu di ambil perhatian yang sewajarnya oleh semua pihak. Mengejar kikik yang putus memang mengundang bahaya terutama sekali ketika berkejar melintasi jalanraya dan berebut-rebut sesama sendiri mendapatkan “bahagian” masing-masing. Bagi orang ramai pula, perlulah berwaspada ketika memandu kerita di kawasan-kawasan bermain kikik kerana dikhuatiri “tetamu” yang tidak diundang melintas jalan secara tiba-tiba dan tali kikik boleh menyebabkan luka apabila terkena dibahagaian badan. Setiap tahun, sempena sambutan Hari Keputeraan KDYMM, pesta kikik tidak ketinggalan di anjurkan dan dikendalikan oleh Persatuan Kikik Daerah Brunei dan Muara [PEKIKIK]. Usaha sedemikian memang bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana permainan tersebut sudah kurang mendapat perhatian di hati masyarakat terutama golongan remaja yang mengganggap permainan itu membosankan. Adalah diharapakan pihak-pihak tertentu akan dapat memainkan peranan yang proaktif seperti mengadakan pameran sejarah permainan kikik atau layang-layang di negara ini. Pertandingan juga perlu dianjurkan tanpa menunggu sesuatu sambutan atau perayaan. Pameran pula dihasratkan selaku pembuka mata masyarakat akan kepentingan mengekalkan permainan tradisi itu serta sebagai santapan generasi akan datang supaya khanzanah masa silam itu tidak pupus ditelan zaman.

No comments: