Sunday, April 8, 2007

MP -1/8/05

Majlis Khatam Al-Quran Ma’had Islam Brunei
DALAM masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran semenjak kecil lagi.

Penuntut bersalaman dengan tetamu kehormat
Setelah mereka ini tamat menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab di panggil Khatam Al-Quran, lazimnya majlis doa kesyukuran akan diadakan bagi meraikan kejayaan tersebut. Majlis seperti ini merupakan satu tradisi keagamaan dan sering di adakan oleh pelbagai pihak seperti institusi-institusi pengajian tinggi, jabatan-jabatan kerajaan, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan sebagainya di negara ini.

Para penuntut khatam
Pada 30hb Julai 2005 yang lalu, Ma’had Islam Brunei telah mengadakan majlis Khatam Al-Quran dan ianya merupakan salah satu projek tahunan maktab berkenaan. Majlis itu adalah bagi meraikan seramai 86 orang penuntut dari Thanawi [Tingkatan] 5 yang telah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran. Kejayaan seperti ini sudah setentunya akan menjadi pendorong dan semangat kepada penuntut-penuntut yang lain untuk mengecapi kejayaan yang sama.
Bagi para penuntut yang diraikan, majlis seperti ini boleh dijadikan sebagai titik tolak ke arah pencapaian seterusnya khususnya dalam mempertingkatkan penguasaan dan kemahiran bidang pembacaan Al-Quran. Majlis ini juga bertujuan bagi memberi penghargaan kepada para penuntut yang mana mereka ini bakal menamatkan pembelajaran mereka di maktab itu tahun ini.
Majlis Khatam Al-Quran tersebut di hadiri sama oleh tetamu kehormat, Yang Mulia Mohd Tarif Bin Haji Metussin, Ketua Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Pendidikan, Pengetua Ma’had Islam Brunei, Ustazah Hjh Umi Klsum Bte Haji Mohd Noor, para jemputan, guru-guru dan ibubapa/penjaga penuntut.

No comments: