Sunday, April 8, 2007

MP - 27/7/05

Produk tempatan mampu bersaing dengan barangan import
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah menyusun beberapa program pembangunan keusahawanan khususnya dalam mengembangmajukan produk tempatan. Pelbagai usaha yang sedang giat diungkayahkan oleh kementerian berkenaan samada yang berbentuk promosi, peningkatan tahap kualiti, skim pinjaman kewangan dan peningkatan para pengusaha kearah penjanaan pertumbuhan perusahan kecil dan sederhana [SME] melalui kerjasama diantara kedua belah pihak iaitu kerajaan dan pihak swasta.

Kacang soya buatan tempatan
Salah satu usaha sedemikian ialah Pameran dan Jualan Produk Tempatan 2005 yang sedang berjalan di Taman Jubliee, Jalan Kumbang Pasang. Acara tersebut yang telah bermula sejak 17hb Julai yang lalu akan berterusan sehingga hujung bulan ini. Ianya disempenakan dengan Majlis Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Brunei dan Muara sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke 59 tahun. Sebanyak 28 buah syarikat terdiri dari perusahaan industri ringan dan binaan, perabot, kraftangan, pakaian, kain songket dan agen pelancungan menyertai pameran itu disamping penyertaan oleh 20 buah perusahaan dalam sektor makanan.

Kakitangan MIPR sebagai "frontline" pengunjung
Dengan tema “Produk Tempatan Pilihan Kitani”, memberi kesempatan kepada para pengusaha untuk mempamirkan produk-produk tempatan yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan produk dari luar negeri dari segi kualiti serta jumlah penghasilan. Matlamat ini boleh dicapai jika para pengusaha menanamkan sifat-sifat ingin maju, berkemahuan tinggi dan bersedia menghadapi pelbagai saingan dalam suasana perniagaan sekarang. Oleh itu, pihak penganjur berharap penuh, pengusaha tempatan akan lebih gigih lagi dalam memajukan dan meningkatkan kualiti penghasilan mereka agar produk tempatan akan menjadi pilihan utama para pembeli. Disamping itu, pembentukan jaringan dengan pengusaha luar mampu menyaingi barangan import sekaligus mampu menembusi pasaran domestik dan antarabangsa. Sokongan dari semua pihak khususnya orang ramai dalam menjayakan pamiran ini sangatlah diharapkan bagi sama-sama memberi sokongan padu kearah memajukan perusahaan kecil dan sederhana dinegara ini.

No comments: