Saturday, April 7, 2007

MP - 20/5/05

Penyediaan pelbagai projek jamin masa depan KTMLB
Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Berhad atau KTMLB merupakan salah sebuah koperasi yang terbesar di Brunei Darussalam. Ianya telah didaftarkan dengan rasminya pada 25 Ogos 1986. Kalau dahulu matlamat asalnya hanyalah untuk mnyediakan perkhidmatan stesen minyak di kampong itu dan sekitarnya, kini aktiviti perniagaannya berkembang dengan begitu cepat dengan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti bas awam, skim pinjaman jual beli dan peribadi, pelancongan, simpanan tetap, takaful, hartanah dan sebagainya. Melihat sejarah ringkas penubuhannya, KTMLB dikenali dengan nama Syarikat Kerjasama Serbaguna Mukim Lumapas Berhad. Oleh kerana sumber kewangan untuk membina stesen minyak tidak mencukupi, satu kertas kerja telah dibuat bagi menampung kos pembinaan dan pengendaliannya oleh bekas pengerusi ketika itu. Setelah mendapat persetujuan ramai, maka tertubuhlah Tabung Simpanan Amanah Mukim Lumapas Berhad atau ringkasnya TASAMUL.

Haji Abd Hakip, Pengerusi KTMLB
Fungsi utama tabung ini ialah bagi mendapatkan modal untuk membiayai kos stesen minyak yang mana setiap ahli dikehendaki membuat pelaburan saham melalui potongan gaji secara ansuran[bulanan] sehingga 100 bulan dan mereka juga digalakkan terus menyimpan walaupun melebihi dari had maksima kematangannya. Sepanjang kurang lebih 19 tahun penglibatan dalam berkoperasi, pelbagai perancangan telah dan akan terus diatur dan disusun untuk mengembangkan lagi perniagaan yang ada dan menerokai peluang-peluang perniagaan lain samada rancangan yang berbentuk jangka pendek atau panjang.

Sehubungan dengan itu, Pada 29hb April 2005 bertempat di Conference Hall 2, Pusat Persidangan Antarabangsa. Mesyuarat Agung KTMLB kali ke - 6 telah diadakan dan di rasmikan pembukaannya oleh tetamu kehormat, Pg Ahmad Pg Hj Metassan, Ketua Bahagian Promosi dan Perhubungan Awam selaku wakil peribadi Pengarah BINA yang seterusnya melancarkan laman web KTMLB yang boleh di layari melalui “www.Tasamul.com”.

Pg Ahmad Pg Hj Metassan, Tetamu kehormat menerima cenderahati
Di antara agenda mesyuarat adalah untuk membaca dan mensahkan minit Mesyuarat Agung yang ke-5 dan seterusnya membincangkan perkara-perkara yang berbangkit daripada minit tersebut. Di samping itu, mesyuarat juga mendengar laporan dari Lembaga Pengarah, meminda tambahan peraturan koperasi, mensahkan pembahagian keuntungan dan pembubaran Ahli-Ahli Lembaga Pengarah tahun 2004/2005 dan melantik ALP baru bagi tahun 2005/2006. Penetapan jawatan ALP pula di buat dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada 2 Mei 2005 di ibu pejabat koperasi itu dengan dihadiri oleh pegawai – pegawai dari BINA. Pendaftar BINA di wakili oleh Awg Masri Haji Durahim selaku pengerusi sementara di majlis berkenaan.

Mesyuarat Agung sedang berjalan
Cadangan-cadangan bagi peruntukan dan projek-projek baru untuk tahun 2005/2006 juga turut di bincangkan dalam mesyuarat agung itu. Antara tujuannya ialah untuk menjaga kepentingan koperasi, kebajikan para pekerja dan memberi bimbingan berterusan kepada tenaga pengurusan bagi memantapkan lagi sistem pentadbiran koperasi itu di samping menerokai bidang-bidang perniagaan lain yang difikirkan boleh meningkatkan pendapatan ahli-ahlinya di masa akan datang. Ke arah menuju matlamat itu, Lembaga Pengarah TASAMUL telahpun meluluskan beberapa skim perancangan perniagaan yang di buat melalui rancangan jangka pendek dan pelan tindakan segera. Rancangan-rancangan itu termasuklah skim tangga gaji kakitangan baru, E-runcit, pelancaran pakej umrah, perkhidmatan pendidikan dan biasiswa, perkhidmatan bas Sungai Kebun-Putat, membuka pejabat KTMLB di Kuala Belait,Tabung Tekad Haji dan Umrah TASAMUL dan banyak lagi. Rancangan yang dibuat secara rapi itu akan di buat secara berperingkat dan harapan ALP ianya akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua ahli dan masyarakat umum.
Rancangan jangka panjang pula, beberapa perkhidmatan akan di perkenalkan seperti Kredit & Kewangan TASAMUL, Kad Debit TASAMUL, Sekolah Taman Asuhan/Sekolah Rendah, Pembangunan Hartanah dan rangkaian Mini Mart yang akan di bincangkan dalam mesyuarat agung akan datang. Melihat perkembangan kepada keahlian sehingga Mac 2005, keramaian KTMLB telah meningkat kepada 2,187 ahli dengan wang saham yang berbayar sebanyak $B3,135,148.64. Perkembangan yang positif ini menunjukkan satu petanda keyakinan ahli-ahli dan masyarakat terhadap koperasi tersebut. Peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat dan penduduk negara ini juga menjadi keutamaan koperasi tersebut di mana 65% dari keseluruhan tenaga pekerjaan adalah terdiri dari anak-anak tempatan. Untuk megemaskinikan jentera pengurusan KTMLB lagi, pada 9hb April 2004, kaunter perjumpaan di antara ahli-ahli dengan Lembaga Pengarah di perkenalkan. Tujuannya ialah bagi mendapatkan “feedback” dan pengumpulan maklumat di samping menjalin perhubungan yang mesra di antara kedua belah pihak bagi meningkatkan lagi mutu pengurusan dan perkhidmatan untuk kebaikan ahli-ahli koperasi jua. Kaunter berkenaan di buka pada setiap hari Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Dalam usaha untuk menarik lebih banyak ahli menganggotai koperasi itu, TASAMUL telah menggandakan usaha dengan menganjurkan jerayawara ke seluruh negara. Antara matlamatnya menyampaikan sijil-sijil saham kepada ahli-ahli, memberi maklumat terkini mengenai TASAMUL, kesempatan bermuzakarah dengan ALP, mendengar masalah dan cadangan daripada mereka bagi sama-sama mengambil peranan aktif demi kebaikan dan kemajuan koperasi tersebut.

No comments: