Saturday, April 7, 2007

MP - 11/7/05

Kelab Pusat Belia ditubuhkan untuk generasi muda
TIDAK dinafikan ramai golongan remaja belia hari ini terutama belia lepasan sekolah banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak mendatangkan hasil. Dengan melibatkan diri mereka dengan persatuan, kelab dan pertubuhan belia sekurang-kurangnya dapat mengisi masa yang terluang untuk kegiatan-kegiatan yang lebih berfaedah terutama pada hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam. Oleh itu, program perlu disusun dengan rapi agar menjadi daya penarik kepada mereka untuk menjadi ahli kepada mana-mana pertubuhan-pertubuhan belia sama ada peringkat kampung, daerah atau negara.
Apa ada dalam beg...

Penubuhan Kelab Pusat Belia merupakan salah satu lagi usaha proaktif kerajaan kearah mempersiapkan para belia dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai program yang dirancangkan. Usaha yang berterusan itu memang tepat pada masanya bagi memperlengkapkan lagi proses penjanaan golongan belia kearah pembentukan generasi pewaris dan penentu kecemerlangan bangsa Brunei Darussalam.

" Kami mau mendaftar sukan golf"
Pusat Belia melalui Jabatan Belia dan Sukan menyediakan sebanyak 12 buah kelab terbuka kepada warga Negara Brunei Darussalam dan penduduk tetap yang berumur diantara 7 hingga 22 tahun. Setiap ahli diberi lencana dan kad keahlian untuk tujuan pengenalan diri dan mereka dibenarkan menyertai 2 buah kelab sahaja. Kelab-kelab yang tersenarai ialah kembara, budaya, fotografi, basikal, komputer, urusan rumahtangga, renang, permainan dalam, penggemar, mempertahankan diri, kayak dan kebajikan.

Para ibu-ibu hadir sama memberi sokongan kepada anak-anak
Tujuan penubuhan kelab-kelab berkenaan adalah untuk membentuk pemimpin belia yang bertanggungjawab dan berkaliber suatu hari nanti. Ianya juga dihasratkan untuk memberi kesempatan kepada ahli-ahli kelab berinteraksi sesama sendiri kearah menyalurkan kebolehan diri mereka melalui pelbagai akitiviti yang dikendalikan oleh pusat berkenaan agar dapat berkembang selaras dengan matlamat dan tujuan penubuhan kelab berkenaan. Ini dapat dicapai melalui pertukaran buah fikiran, semangat kerjasama dan pertandingan disamping mewujudkan ikatan tali silaturrahim dikalangan mereka.
Antara kelab-kelab yang pasti menjadi tumpuan kaum belia ialah kelab-kelab kembara, basikal dan komputer. Ketiga-tiga aktiviti ini menggabungkan perkembangan pemikiran, kesihatan dan kemasyarakatan serta pendedahan kepada aspek penguasaan ilmu dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi [ICT], kerja kemasyarakatan, lawatan sambil belajar, berbasikal sempena hari-hari perayaan, pengembaraan belia kebangsaan dan sebagainya. Kelab-kelab lain seperti budaya dan kebajikan memberi peluang kepada penggemar tarian dan vokal untuk mengembangkan bakat mereka sambil belajar dan memperbaiki persembahan hadrah dan koir. Disamping itu juga, aktiviti keagamaan tidak ketinggalan mengisi ruang-ruang yang kosong bagi para belia bergiat aktif seperti kelas menghalusi bacaan Al-Quran, berdzikir dan nasyid. Para penggemar ilmu pertahanan diri, Kelab Pusat Belia menyediakan pencak silat, karate do, tek kwan do, tai chi dan wushyu. Untuk aktiviti dalaman pula, ahli-ahli boleh bermain catur, dart, congkak, pasang, karom dan scrabble.
Walau bagaimanapun, penubuhan kelab-kelab tersebut tidak akan terlaksana tanpa sokongan padu dari semua pihak dan masyarakat. Agensi-agensi kerajaan yang lain serta ibubapa/penjaga dan masyarakat umumnya juga perlu berkerjasama bagi menjayakan program sedemikian. Dipihak belia pula, mereka perlu lebih peka dengan mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sebaik mungkin supaya matlamat asal keahlian mereka sejajar dengan tujuan asal penubuhan kelab-kelab berkenaan.

No comments: