Saturday, April 7, 2007

MP - 2/5/05

Perkampongan Hijrah – Bentuk Keperibadian Belia
BELIA merupakan golongan terpenting dalam sesebuah masyarakat. Keutuhan masyarakat dan negara amat bergantung kepada kekuatan yang wujud pada generasi belia. Oleh itu, tidak hairanlah apabila golongan belia sering dikaitkan dengan kemajuan atau kemunduran sesebuah negara. Golongan belia adalah paksi kepada sesebuah masyarakat dan negara, bak kata pepatah `pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa'.
Kalau diimbas kembali pada zaman Rasulullah s.a.w., kita mendapati bahawa golongan belia merupakan pemangkin ke arah kelangsungan dakwah Islam. Nama-nama belia yang menyumbangkan masa, tenaga dan jiwa terhadap Islam, seperti Ali bin Abu Talib, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Abu Bakar, Asma binti Abu Bakar, Amir bin Fuhairah dan banyak lagi. Kehebatan golongan belia pada zaman Rasulullah terserlah apabila mereka bersungguh-sungguh melakukan segala yang boleh memberi kebaikan kepada Islam.
Dalam konteks ini, Jabatan Belia dan Sukan sentiasa berusaha dalam mengiatkan pelbagai projek yang menjurus kepada latihan dan pendedahan ilmu serta kemahiran yang boleh meningkatkan kekuatan beragama, semangat perpaduan dan kesukarelawaan para belia di negara ini. Oleh itu, jabatan berkenaan melalui cawangan Daerah Brunei/Muara telah berjaya menganjurkan Program Perkampongan Hijrah Belia bagi tahun 1426/2005 selama 4 hari 3 malam mulai 9 hingga 12 Safar 1426H [20 hingga 23 Mac 2005] yang mengumpulkan pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Brunei/Muara berumur di antara 15 hingga 20 tahun.
Perkampongan tersebut merupakan kali kedua yang seumpamanya dianjurkan setelah kejayaan pertamanya tahun lepas. Perkampongan tersebut turut dijayakan dengan penglibatan aktif dari agensi-agensi kerajaan yang lain bagi sama-sama menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi kemajuan para belia di negara ini.
Sambutan para belia begitu memuaskan di mana pihak penganjur menghadkan penyertaan kepada 46 orang sahaja dari seramai lebih 60 peserta memohon untuk menyertai perkampongan berkenaan dan setiap peserta dikehendaki ‘berkampong’ di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan disepanjang program berjalan. Beberapa orang peserta berpendapat bahawa penyertaan peserta hendaklah dilaratkan kesemua daerah supaya lebih ramai penuntut sekolah mengikuti program berkenaan yang biasanya diadakan masa cuti persekolahan dan aktiviti perkampongan ditambah.
Acara berkebajikan itu bertujuan untuk memperingati Hijrah Rasulallah Sallallah Alahi Wassalam dan pengorbanan Baginda dalam menegakkan Syear Agama Islam. Ianya juga untuk membentuk belia ke arah hidup yang berilmu dan berpengetahuan sebagai bekalan hidup di samping sebagai pelapis kepada golongan yang lebih tua. Selain itu, untuk menggalakkan belia mempelajari dan mendalami lagi pengetahuan mereka tentang Fardhu Kiayah, Fardhu Ain dan aktiviti-aktiviti yang berunsur keagamaan. Tujuan lain ialah sebagai satu galakan dan membiasakan belia untuk berkerjasama dengan golongan yang lebih tua dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan. Peserta-peserta juga didedahkan dengan teknik pertolongan cemas melalui Cardio Pulmonary Resuscitation [CPR] serta aktiviti-aktiviti riadah yang bersesuaian.
Para belia juga diuji dari segi minda dan fisikal dengan melakukan ‘Night March’ atau Perbarisan Malam di mana mereka dimestikan menjalani acara berkenaan setiap malam Keesukkan harinya pula, peserta membuat senaman sebelum menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan setiap pagi.
Disepanjang perkampongan itu, Para belia juga mendengar ceramah sempena Awal Tahun Hijrah yang bertajuk “ Belia Cemerlang Berpandukan Ajaran Islam”. Mereka juga diberi taklimat tentang fungsi Jabatan Belia dan Sukan serta perkara yang berhubungkait dengan kebeliaan di negara in disamping mengikuti taklimat mengenai “Ancaman Dadah dan Kesannya Kepada Belia Sebagai Tunggak Negara” disampaikan oleh pegawai dari Biro Mencegah Rasuah. Para belia juga berkesempatan untuk menghalusi bacaan dan tata tertib dalam sembahyang lima waktu, adab ketika berada didalam masjid dan adab membaca Surah Yassin dn bertahlil beramai-ramai.
Kesimpulannya, para belia di samping perlu memiliki wawasan hidup yang jelas, mereka juga hendaklah dibimbing dan diberi latihan yang berterusan untuk membentuk jiwa dan akhlak. Para belia masa kini juga sewajarnya membaca, meneliti serta menjadikan panduan daripada kisah-kisah para belia pada zaman Rasulullah yang banyak mengorbankan jiwa, tenaga dan masa untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Pihak penganjur berharap para belia yang mengikuti program tersebut akan dapat menggunakan dan memperaktikkan ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari selama dalam perkampongan bagi membantu diri sendiri, ibu-bapa, keluarga, sahabat handai, jiran dan masyarakat.

No comments: