Saturday, April 7, 2007

MP - 1/7/05

Perkemahan uji ketahanan remaja belia
GOLONGAN remaja belia masa kini terdedah kepada gejala sosial yang semakin meluas yang perlu diberi perhatian serius. Ditambah lagi dengan ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar, kerjasama diantara pendidik, ibu bapa dan masyarakat amat berkesan dalam sama-sama memainkan peranan yang proaktif kerana impaknya cukup besar dan bakal menggugat kesejahteraan serta keamanan yang telah lama dikecapi di bumi bertuah Brunei Darussalam.
Menyedari akan hakikat ini, remaja belia ternyata golongan yang mudah terpengaruh dengan arus permodenan itu. Pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi internet, televisyen dan komputer berjaya mengembangkan minda namun adakalanya tanpa pengawasan yang rapi akan menyebabkan maklumat tersebut disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak berfaedah.
Jerat apa tu bang?
Dalam hal ini, aktiviti-aktiviti yang sihat dan berfaedah mampu merubah tanggapan masyarakat bahawa golongan remaja belia sinonim dengan kegiatan-kegiatan yang negatif. Oleh itu, para remaja belia perlu mengambil bahagian dan bergiat aktif dalam apa jua kegiatan yang diungkayahkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menghindari diri masing-masing dari tergolong dalam kelompok tersebut.
Dalam hal ini, satu perkemahan remaja belia bagi mereka yang berumur 14 tahun keatas telah menarik lebih 20 pelajar dari sekolah-sekolah di Daerah Brunei Muara bagi menyertai “night camp” selama dua hari bermula 25 hingga 26 Jun 2005 yang lalu di Taman Rekreasi Hutan Simpan, Berakas. Walaupun penyertaan tidak ramai, namun bagi para perserta yang terlibat amat berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

"Tiga dara pingitan"
Para peserta bangun seawal 4.30 setiap pagi bagi menunaikan sholat Suboh. Setelah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing, mereka menyanyikan lagu kebangsaan sambil menaikkan bendera dan diikuti acara senaman pagi. Mereka juga didedahkan kepada survival zaman silam seperti cara-cara memukat, menjarat dan mengenali tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ubat dan makanan waktu dahulu.
Juga dikerah melakukan “night march” disamping aktiviti riadah. Walaupun tempoh perkemahan agak pendek, namun banyak pengalaman baru yang dipelajari dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Diakhir perkemahan, para peserta diberikan sijil penghargaan atas penyertaan perkemahan kali ini. Aktiviti tersebut diawasi sepenuhnya oleh para pegawai dan petugas Jabatan Belia dan Sukan melalui bahagian belia Daerah Brunei Muara.
Objektif perkemahan ialah untuk memberi kesedaran kepada para peserta tentang pentingnya mempunyai matlamat hidup dan menggunakan masa muda dengan membuat kerja-kerja yang produktif dan efektif. Selain itu, mejauhkan diri dari terlibat dalam kegiatan anti sosial seperti penyalahgunaan dadah dan budaya lepak. Berusaha menanamkan rasa kasih sayang kepada ibubapa, guru, pemimpin dan cintakan kepada negara. Perkemahan itu juga dihasratkan dapat meningkatkan kemahiran memimpin, berfikir dan bertindak secara kreatif dan positif.

No comments: