Saturday, April 7, 2007

MP - 11/5/05

KODRAT satukan tiga puak
Koperasi Dataran Gong Tiga, Majlis Perundingan Kampong Lamunin Berhad [KODRAT] di daftarkan dengan Badan Kemajuan Industri Brunei [BINA] pada 5hb Januari 1998 yang menggabungkan tiga puak terdiri dari puak Kedayan, Dusun dan Tutong yang tinggal di sekitar Kampong Lamunin. Sejak penubuhannya hingga sekarang, permodalan bertambah sebanyak $747,200 dengan bilangan ahli meningkat sedikit kepada 477 orang. Dengan modal yang terhad ketika mula-mula ditubuhkan, cita-cita begitu tinggi untuk melihat kewujudan sebuah koperasi yang mampu bersaing dan berupaya mengendalikan pelbagai jenis perniagaan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk-penduduk setempat dan sekitarnya. Hasil dari pengorbanan dan komitmen yang tinggi dari ahli-ahli, akhirnya sebuah stesen minyak berjaya dibina dengan kos hampir $720 ribu dan ianya mula beroperasi pada 17hb Ogos 1998 di atas sebidang tanah yang disewakan oleh seorang ahli KODRAT dengan kadar sewa yang ditetapkan bagi tempoh 25 tahun. Pada tahun 2003, KODRAT menambah lagi satu kegiatan perniagaannya iaitu perkhidmatan bas sekolah. Pada Februari 2000 pula, tugas baru diwujudkan sebagai tambahan kepada tugas-tugas yang sedia ada bagi Ahli Lembaga Pengarah yang masing-masing mengetuai dan mengawasi tugas yang diberikan meliputi bahagian pelaburan, pendidikan, bangunan dan kawasan stesen, perkhidmatan bengkel dan rawatan kereta, bahagian kursus/projek/lawatan, pengurusan kedai dan penerangan/kebajikan dan sosial. Perlantikan dan pembahagian tugas-tugas tersebut bertujuan untuk memantapkan lagi jentera pentadbiran dan pengurusan, mengemaskini peranan, meningkatkan pendapatan dan kebajikan ahli KODRAT. Apa yang ditekankan kepada semua anggota koperasi ialah mereka sewajarnya menjadi pemangkin bersama yang boleh menentukan hala tuju dan pencapaian koperasi. Mereka merupakan orang yang bertanggungjawab secara bersama yang boleh merancang dan melaksanakan perancangan agar koperasi mencapai kejayaan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat agung. Sepanjang 7 tahun beroperasi, seramai 70 orang terdiri dari 100% anak-anak tempatan telah bekerja di koperasi tersebut. Kekerapan dan kehadiran ahli KODRAT dalam Mesyuarat ALP adalah menggalakkan di mana peruntukan dalam tambahan 27 daripada Tambahan Peraturan Koperasi mensyaratkan sekurang-kurangya sekali dalam sebulan mesyuarat itu di adakan. Disamping mesyuarat ALP, Mesyuarat Khas ALP dan Mesyuarat Agung tergempar juga mengambil tempat dan tidak ketinggalan permuzakarahan dengan dengan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak [PPPSM] di mana KODRAT menjadi ahli kepada persatuan itu yang menggabungkan 24 buah stesen minyak di seluruh negara. Bagi menyumbang kepada kemantapan dan kejayaan koperasi berkenaan, pelbagai program pendidikan dan bimbingan telah dilaksanakan yang melibatkan tenaga pentadbiran stesen seperti kursus-kursus kewangan, layanan pelanggan, tindakan kecemasan di stesen minyak, sistem pemasaran dan seumpamanya di dalam dan luar negeri. Pada 24hb April 2005 yang lalu, KODRAT telah mengadakan Mesyuarat Agung kali ke- 3 dengan agenda utamanya membubarkan ALP sesi 1999-2005 dan melantik ALP yang baru bagi sesi 2005-2007. Disamping pengumuman pembahagian keuntungan, cadangan pembelian tanah seluas 0.690 ekar di kampong berkenaan juga dibincangkan untuk perancangan akan datang. Meskipun keuntungan yang banyak bukan merupakan perkara utama dalam menjalankan kegiatan koperasi tetapi ianya perlu untuk menampung kos operasi dan juga memberi pulangan sewajarnya kepada anggota koperasi. Kegiatan-kegiatan berkebajikan juga sering di adakan sepanjang tahun. KODRAT turut di undang menghadiri sambutan Jubli Perak Gerakan Koperasi pada 23hb Mac 2002, di Pusat Persidangan Antarabangsa, sambutan Hari Raya anjuran PPPSM, acara persembahan sempena Hari Keputeraan KDYMM dan sukan. Disamping itu, KODRAT di iktiraf sebagai salah sebuah Stesen Minyak Contoh bagi dua tahun berturut-turut [2003-2004] oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell [BSM]. Anugerah tersebut di nilai dari segi kecemerlangan perkhidmatan kepada pelanggan, penampilan lokasi dan semangat kerjasama. Pengiktrafan sedemikian bukan saja memberi manafaat kepada para pelanggan malah juga berharga kepada BSM dan urusniaga stesen itu sendiri. Sehubungan itu ungkapan “baik buruknya sesebuah koperasi terletak di tangan setiap anggota koperasi” ada kebenarannya. Ini kerana para anggotalah yang akan menentukan maju mundurnya sesebuah koperasi. Mereka yakni anggota merupakan pemilik bersama koperasi dan mereka jugalah yang menentukan apakah kegiatan terbaik yang hendak dijalankan oleh koperasi. Oleh itu, anggota koperasi perlu setia dan sentiasa menyokong penuh usaha koperasi dan perlu diterapkan dalam minda setiap anggota supaya mereka dapat memberi keutamaan kepada koperasi yang mereka anggotai untuk kepentingan bersama.

No comments: