Saturday, April 7, 2007

MP - 6/6/05

Pendidikan berterusan mantapkan kecekapan pengurusan

SUASANA dan iklim dunia masakini telah mempengaruhi pembangunan ekonomi sejagat melalui proses globalisasi yang memang tidak mengenal sempadan di semua peringkat masyarakat. Revolusi infotelekomunikasi turut sama mencetuskan perubahan itu dengan mencorakkan cara perhubungan dan pengurusan perniagaan. Ke arah mengimbangi fenomena yang mencabar ini, kerjasama yang lebih erat di antara satu sama yang lain menjadi landasan yang berkesan bagi memperkukuhkan keupayaan jati diri dalam menghadapi arena ekonomi global yang bebas.

Sepertimana juga dengan syarikat-syarikat persendirian yang lain di negara ini, gerakan koperasi tidak terkecuali daripada kesan lonjakan globalisasi tersebut. Bagi mengecapi kecermelangan dan kesejahteraan ekonomi yang berterusan, pengurusan perniagaan perlu dikemaskinikan agar mampu berdaya maju dan berdaya saing dalam pelbagai bentuk aktiviti ekonomi yang diceburi.

Sehubungan dengan ini, Badan Kemajuan Industri Brunei [BINA] melalui Bahagian Kemajuan Koperasi, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama tidak pernah jemu-jemu mengendalikan program-program pada setiap tahun samada yang berbentuk pendidikan, bimbangan, bengkel, seminar, perkhidmatan dokongan, latihan dan sebagainya bagi membantu gerakan koperasi di negara ini agar menjadi sebuah institusi sosio-ekonomi yang mampan dan berdikari ke arah pembentukan masyarakat yang berilmu dan berwibawa.

Haji Mohd Zain menyampaikan cenderahati kepada tenaga pengajar

Walau bagaimanapun, seperti juga entiti komersil yang lain, badan-badan koperasi perlu juga mengatur strategi dan mekanisma yang bijak dan produktif. BINA selaku agensi kerajaan berfungsi sebagai pemudah dan pemangkin dengan penyediaan infrastruktur termasuk akta, dasar dan program sementara perlaksanaannya terpulanglah kepada koperasi itu sendiri. Oleh itu, ilmu pengetahuan yang diperolehi dari program-program yang dianjurkan oleh jabatan ini perlu di manafaatkan sepenuhnya oleh setiap anggota koperasi bagi membantu mempertingkatkan kecekapan pengurusan jentera pentadbiran koperasi masing-masing.

Para peserta Kursus Kepimpinan bergambar ramai

Sehubungan dengan itu pada 21 hb Mei 2005 yang baru lalu, seramai 75 orang peserta telah menerima sijil-sijil penghargaan setelah berjaya menamatkan kursus-kursus yang di kendalikan secara berperingkat mulai Mac hingga Mei 2005. Buat julung kalinya, majlis berkenaan dibuat secara serentak bagi ke empat-empat kursus yang bertujuan bagi memberi peluang kepada peserta-peserta dan para pegawai BINA merapatkan lagi hubungan silaturrahim di samping bertukar-tukar buah fikiran khususnya dalam bidang perkoperasian. Kursus-kursus yang dimaksudkan ialah Perundangan Koperasi, Kepimpinan Koperasi, Perakaunan Menengah dan Kefahaman dan Pengenalan Koperasi. Dari segi matlamat pengendalian kursus-kursus Perundangan, Kepimpinan dan Kefahaman serta Pengenalan Koperasi adalah untuk membolehkan peserta mentafsir dan melaksanakan peruntukan undang-undang koperasi yang sedia ada dengan sasaran peserta ialah Ahli Lembaga Pengarah [ALP], Juruaudit dalam [pemeriksa kira-kira] dan pengurus/tenaga kerja koperasi. Para peserta didedahkan kepada struktur, pertubuhan dan keanggotaan, kelayakan, hak dan kewajipan, pentadbiran termasuk mesyuarat-mesyuarat agung dan kuasa serta fungsi juruaudit dalaman dan seumpamaya. Ianya juga boleh membantu peserta memahami falsafah koperasi, konsep, prinsip-prinsip, Akta, Peraturan, Tambahan Peraturan dan Peraturan Kecil. Kursus Perakaunan Menengah pula adalah kesinambungan dari kursus yang sama di peringkat asas [permulaan] dan akan di laratkan seterusnya ke peringkat lanjutan bulan depan yang mana bertujuan menyediakan kewangan koperasi dengan lengkap dan teratur. Sasaran peserta ialah bendahari/penyimpan amanah, juruaudit dalam dan tenaga kerja koperasi. Mereka yang mengikuti kursus ini mestilah pernah mengikuti kursus asas perakaunan atau mengetahui serba sedikit asas perakaunan. Metodologi kesemua kursus adalah berbentuk syarahan, perbincangan kumpulan, latihan/ujian akhir [bagi kursus-kursus perakaunan] dan lawatan sambil belajar. Oleh yang demikian, penyediaan pelbagai bentuk program yang berterusan dikendalikan BINA wajar mendapat sokongan yang padu dari semua pihak bagi mempertingkatkan keberkesanan sesebuah organisasi koperasi itu sekaligus mampu melahirkan tenaga pengurusan yang cekap dan berkemahiran. Hasil dari penglibatan pihak koperasi, kualiti perkhidmatan juga dapat dipertingkatkan setanding dengan badan-badan korporat yang lain seperti dalam bidang pengurusan kewangan, pentadbiran, pemasaran dan sebagainya.

Akhirnya, semua peringkat anggota koperasi perlu bekerjasama di antara satu sama lain dengan lebih erat lagi dengan berkongsi tenaga, kepakaran dan pengalaman bagi sama-sama memikul tanggungjawab dan peranan yang aktif bagi memertabatkan gerakan koperasi di negara ini.

No comments: