Saturday, April 7, 2007

MP - 10/6/05

Ma’had Islam Brunei berupaya lahirkan generasi cermerlang

Ma’had Islam Brunei merupakan antara institusi pendidikan yang terbaik di negara ini. Kesedaran untuk mencapai tahap kecemerlangan akademik di kalangan para pelajar disamping dorongan yang kuat dari ibubapa dan penjaga serta rakan-rakan sebaya telah berjaya meningkatkan imej maktab tersebut sebanding dengan institusi-institusi pengajian yang lain. Maktab yang dikhususkan untuk pelajar lelaki ini terletak di daerah Tutong dan menempatkan blok pentadbiran serta dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan asas seperti asrama, bilik-bilik darjah, perpustakaan, surau, makmal sains, dewan serbaguna dan padang permainan. Keramaian penuntut ketika ini adalah 438 orang manakala tenaga pengajarnya pula seramai 93 orang di mana 46 peratus daripadanya adalah guru-guru perempuan. Dari jumlah tersebut, 76 orang adalah tenaga tempatan dan selebihnya guru-guru yang dilantik secara berkontrak sementara kakitangan maktab berjumlah 37 orang. Mengimbas sedikit sejarah maktab ini, pembinaannya bermula pada Oktober 1987 dan menerima kemasukan penuntut pertamanya pada Mei 1990. Pada 17hb Julai 1990 bersamaan 23 Zulhijjah 1410H, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan merasmikan pembukaan maktab berkenaan. Memandangkan kerja-kerja pembaikan terhadap bangunan maktab sedang dijalankan, para penuntut di pindahkan sementara ke Sekolah Persediaan Arab bagi menengah bawah dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah [SMALHB] bagi menengah atas pada 31hb Mac 2003. Ma’had Islam Brunei di gunakan semula pada 23 hb Mac 2005. Walau bagaimanapun bagi penuntut-penuntut yang tinggal di asrama, mereka ditempatkan sementara di asrama Sekolah Menengah Muda Hashim dan Flat Sungai Besar sehingga kerja-kerja pembaikan bangunan asrama selesai. Bagi mempastikan kejayaan sekolah dan penuntut yang berterusan, Ma’had Islam Brunei telah menyusun pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, sukan dan seumpamanya di sepanjang tahun. Ini termasuklah kelas-kelas bimbingan Al-Quran, ceramah, pertandingan, penyampaian sijil/hadiah penghargaan kecemerlangan tahunan pelajaran seperti skim skim galakan dan penilaian berterusan serta anugerah-anugerah penuntut-penuntut cemerlang dan mithali.

Salah satu projek yang dipamerkan
Di samping itu, kegiatan-kegiatan lain seperti aktiviti sempena cuti penggal persekolahan juga dikendalikan secara berterusan setiap tahun. Antara akitiviti yang telah dirancang termasuklah kempen kebersihan, Dikir Syarafil Anam [Dikir Brunei], majlis meraikan guru-guru berpindah sekolah, acara sukan, muzakarah guru-guru bersama pengetua, pertandingan akademik dan sebagainya. Hampir keseluruhan daripada aktiviti-aktiviti itu sudah dilaksanakan dengan jayanya. Bagi meningkatkan lagi tahap pencapaian para penuntut, satu peraduan akademik anjuran maktab itu di adakan pada 4hb Jun 2005 yang baru lalu dengan penglibataan kesemua pelajar dari darjah 5 dan 6 hingga ke tingkatan 5. Sebanyak 23 buah kelas mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang mana mereka perlu menghasilkan 3 projek menerusi subjek-subjek seperti sejarah, matematik, komputer, sains dan sebagainya untuk dipertandingkan dengan hadiah-hadiah yang menarik menanti untuk setiap penyertaan dan para pemenang. Antara projek-projek yang di pertandingkan ialah Kampong Ayer pada zaman dahulu, tsunami and the major earthquakes, the discovery of oil, hydro electric, pollution, volcano, harmful drugs, oil and gas in Brunei dan lain-lain.

Para penuntut mempamirkan hasil kreativiti mereka
Antara objektif pertandingan adalah untuk menanamkan minat yang mendalam terhadap semua mata pelajaran yang diajarkan. Ianya juga bertujuan meningkatkan kreativiti dan kemahiran berfikir secara efektif, merapatkan lagi hubungan yang erat diantara guru-guru dan para pelajar disamping menggalakkan semangat ‘teamwork’ di kalangan pelajar bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran. Adalah mejadi harapan tinggi pihak maktab agar segala usaha yang dikendalikan secara berterusan setiap tahun samada yang berbentuk akademik atau kegiatan-kegiatan yang lain dengan sokongan dan penglibatan dari semua pihak jua akan dapat membantu para pelajar mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan yang telah diperolehi dan di manafaatkan sepenuhnya sebagai bekalan untuk menempuh peringkat pendidikan yang lebih mencabar di masa akan datang.

No comments: